Game Buatan Malaysia No Straight Roads
No Straight Roads adalah sebuah permainan video aksi-pengembaraan yang bertemakan muzik. Kau akan bermain sebagai dua orang watak iaitu Mayday dan Zuke, dua anggota kumpulan rock indie Bunk Bed Junction.
Misi Mayday dan Zuke adalah untuk membebaskan Vinyl City daripada genggaman empayar EDM. EDM telah menguasai Vinyl City melalui label rakaman mereka NSR yang melarang semua jenis muzik lain.
Kau akan melawan menggunakan kuasa muzik, terutamanya rock, untuk mengubah objek menjadi senjata menentang bos-bos EDM.
Kalau ada yang masih tak tahu, No Straight Roads adalah salah satu permainan video buatan Malaysia yang paling dinanti-nantikan tahun ini.
Ia dibangunkan oleh Metronomik, sebuah studio pembangunan permainan yang berpangkalan di Kuala Lumpur.
Metronomik ditubuhkan oleh Wan Hazmer, bekas ketua pereka permainan untuk Final Fantasy XV, dan Daim Dziauddin, artis konsep untuk Street Fighter V.
Sebelum ini studio tersebut telah mengumumkan bahawa No Straight Roads akan dilancarkan pada 30 Jun 2020 untuk PC dan PlayStation 4 (PS4). Terapi, baru-baru ini Wan Hazmer telah membuat pengumuman terbaru di FB No Straight Roads bahawa pelancaran akan ditunda. Tidak ada tarikh baru yang diumumkan.
Walau bagaimanapun No Straight Roads sudah boleh dipra-tempah untuk PC secara eksklusif melalui Epic Games Store pada harga USD18.99.
Edisi Pengumpul PS4 No Straight Roads juga akan dijual dan ia mengandungi beberapa barangan berikut:
- Permainan PS4 No Straight Roads
- Cakera vinyl LP yang mengandungi lagu-lagu daripada soundtrack rasmi No Straight Roads
- Buku seni “The Art of NSR” (64 muka surat)
- Sepasang kayu dram rasmi NSR
- Kotak luaran yang funky
Edisi pengumpul ini sudah boleh ditempah di GameStop dan juga 365Games. Setakat ini belum lagi ada kedai permainan video di Malaysia yang memasarkan edisi pengumpul ini.